Izin Ku Menulis

Izin Ku Menulis

Jumaat, 13 Februari 2015

InnaliLlahi wa ina ilaihi raji'un



Sudah agak lama tak menulis di sini. Sebab dek kesibukan tugas-tugas harian. Memang banyak perkara yang saya hendak lakukan tetapi tiadalah kesempatan untuk melakukannya. Kalau mengadu dengan pakar dah tentu dia akan berikan jawapan yang mengenai batang hidungku - kindly manage your time properly!



Pada malam tanggal 12 Februari 2015, Malaysia telah dikejutkan dengan perginya seseorang yang penting di banyak hati dan sanubari masyarakat di Malaysia. Bentara Setia, Dato' Tuan Guru Haji Nik Aziz Bin Nik Mat RahimahuLlah. 

Sebelum ni acap kali juga perkhabaran Dato' jatuh gering tetapi ianya hanya diiringi doa-doa, tiada jiwa yang tersayat jua tiada air mata ditumpahkan. Peristiwa kali ini berbeza, Tuan Guru pergi menghadap penciptanya Rabbul Jaleel. Konon berkata hati ini ah!, biasalah pemimpin meninggal dunia. Tetapi hati kecil ini tiba-tiba berbisik sendu sendirian, cuba menutupi hirisan-hirisan luka halus yang entah bagaimana timbulnya, air mata ini bergenang jua..

Hebatnya insan itu! Tuan Guru Nik Aziz, satu-satunya ulama di tanahair kita yang merupakan Musnid yang meriwayatkan sanad tinggi daripada Maulana Husain Ahmad al-Madani al-Deobandi RahimahuLah. Begitu banyak kelas-kelas dan ceramah-ceramahnya. Buku-buku tulisannya, mushaf-mushaf tafsir surah al Quran. Ilmu yang dimilikinya ternyata bukan hanya untuk dirinya.

Bermanhaj mutaqaddimin, akidah yang sama sepertimana para sahabat baginda, tabi'in dan tabiut-tabi'en jua. Imam-Imam mazhab. Akidah yang dipegang amatlah benar. Allah berisytiwa di atas arasy seperti mana yang didalilkan dari tujuh ayat dari surah-surah di dalam Al Quran.

Barangkali saya cuma seorang penulis yang tidak begitu mengenali dirinya, kerana tidak pernah bertemu dengannya. Barangkali lebih ramai di luar sana yang lebih faham dan tahu mengenai keperibadiannya. Tetapi ia tidak akan pernah mengurangi rasa hormat saya terhadapnya.

Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat, ditempatkan di Illiyyin nan tinggi, bersama roh para syuhada, anbia dan solihein. Allah perindahkan kuburnya, sejuk dan sayangi rohnya. Amin!






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila berikan sepatah dua kata!