Izin Ku Menulis

Izin Ku Menulis

Selasa, 14 April 2015

Hakikat Alam Ruh

InnaliLlahi wainna ilahi rajiun. Allahummaghfirlaha warham ha wa'a fihi wa'fu'anha..

Pada tanggal 12 April 2015, genaplah setahun pemergian bonda saya ke sisi sang pencipta. Rasa seperti baru semalam almarhumah pergi, membawa bersama seribu kenangan hidupnya bersama suami, anak-anak, saudara mara dan rakan taulan yang selalu mengasihinya. Sedang kami yang masih tinggal ini pula tak habis-habis mendoakan kebaikan dan kebahagiaannya di alam sana. Tak pasti pula kalau-kalau dakwat yang menulis kata-kata doa itu akan pernah habisnya. Rindu padanya pula takkan pernah terpadam sehinggalah kami pula menyusulnya.. dan bertemu kembali di jannah.  
Almarhumah Bonda saya, insan hebat yang mencorakkan warna-warna hidup saya. 

Persoalan
Terngiang-ngiang di benak saya, kemanakah roh orang yang telah meninggal dunia pergi? Apakah yang berlaku seterusnya lewat pengebumian dilangsungkan? Bolehkah orang yang hidup berinteraksi dengan mereka yang telah tiada?
Saya kongsikan tulisan ilmuan dan pandangan ulama berkenaan roh dan kehidupan barzakh. Moga bermanfaat!



DR MAZA:
Apakah itu hakikat barzakh? Apakah ruh yang dibawa ke barzakh masih dapat mengingati apa yang telah mereka lalui di dunia ini? Lebih dari itu, apakah mereka yang berada di alam barzakh dapat mengetahui perkembangan tertentu di dunia ini? Inilah antara persoalan yang dilontarkan oleh ramai sarjana lepas, termasuk Ibn Qayyim dalam buku khusus tentang hal ini dan persoalan ini juga diminati oleh ramai penulis Barat dan pelbagai penulis filem di seluruh dunia. Persoalan ini mungkin kurang menarik bagi sesetengah pihak, namun bagi sesiapa yang kematian orang yang dikasihi, mungkin perkara berlegar dalam fikirannya. Juga kepada sesiapa yang mempunyai pengalaman tentang hal ini seperti sahabat saya Presiden IRF.
Kita pada hakikatnya makhluk bersosial. Kehidupan ini terbina atas hubungan kita dengan makhluk lain; manusia dan alam. Apabila kita mati, tubuh kita mungkin hancur menjadi tanah, namun ruh kita membawa bersamanya sejuta kenangan tentang kehidupannya di alam ini. Ruh akan terus mengingati keluarganya, sahabat handainya, kediamannya dan segala yang pernah dilalui.
Al-Quran menceritakan tentang keadaan ahli syurga apabila melihat buah-buahan di sana, lalu mengingati buah-buahan yang pernah mereka makan di dunia dahulu. Firman Allah: (maksudnya)
“dan berilah khabar gembira kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada ami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lama”. (Surah al-Baqarah: 25).
Jika di akhirat insan masih mengingati apa yang telah dilalui di dunia, sehingga rupa buah-buahan pun masih segar di ingatan, inikan pula perkara-perkara yang lebih besar. Sebelum akhirat bermula, setiap ruh akan berada di alam barzakh. Membawa bersamanya jutaan kenangan tentang kehidupan yang telah dilalui.
Apakah ruh insani akan berenang kesepian dalam alam barzakh yang maha luas itu? Atau mungkin bersosial di alam baru? Atau apakah masih ada ruang untuk ruh berjenguk perkembangan alam duniawi; kaum keluarganya, negaranya, sahabat handainya dan perkara-perkara yang Allah izinkan untuknya. Apakah ruh akan mengetahui beberapa tindakan sesiapa yang dikenalinya di dunia? Perkara-perkara ini dibahaskan oleh ramai sarjana muslim berasaskan riwayat-riwayat yang pelbagai dan penilaian yang berbeza pula.
Kita tahu Nabi s.a.w melarang kita menyakiti mayat antaranya sabda baginda dalam hadis yang sahih:
“Mematahkan tulang mayat sama seperti mematahkan tulang orang hidup” (Riwayat Malik, Abu Daud, Ibn Majah dll).
Banyak hikmah atas larangan tersebut, antaranya kerana mayat itu mempunyai empunyanya yang telah ke alam barzakh. Menyakiti mayat, akan menyakiti perasaan ruhnya. Ini antara tafsiran yang diberikan. Hakikat insan ialah ruhnya, tanpa ruh hanya tinggal tubuh yang tidak bernyawa. Walaupun tubuh sudah mati, ruh terus hidup dengan caranya yang tersendiri.
Ahli Kubur
Kita juga diajar oleh Nabi s.a.w agar memberikan salam kepada ahli-ahli kubur apabila kita melalui kawasan perkuburan. Pasti mereka mengetahui salam kita, jika tidak masakan kita disuruh memberi salam kepada batu dan kayu. Kata Ibn Qayyim:
“Nabi telah syariatkan umatnya agar ketika memberikan salam kepada ahli kubur hendaklah memberi salam seperti kepada mereka yang mendengar ucapan dengan menyebut ‘salam sejahtera kepada kamu wahai para penduduk yang beriman’. Ucapan ini untuk sesiapa yang mendengar dan berakal, jika tidak ucapan itu hanya seperti bercakap kepada sesuatu tidak wujud dan kaku. Ulama salaf telah bersepakat mengenai hal ini dan terdapat riwayat-riwayat yang mutawatir daripada mereka bahawa mayat mengetahui ziarah orang hidup dan bergembira dengannya”. (Ibn Qayyim, al-Ruh, m/s 140, Jordan: Maktabah al-Manar).
Di sana ada riwayat yang dinilai sahih oleh Ibn al-Mubarak, ‘Abd al-Barr, ‘Abdal-Haq al-Ashbili, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain, di mana Nabi s.a.w bersabda:
“Tiada seorang yang melintasi kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenalinya dahulu di dunia, lalu memberi salam, melainkan dia (si mati) mengenalinya dan menjawab salamnya”.
Ibn Qayyim juga turut membahaskan apakah ruh orang yang mati boleh bertemu ruh orang hidup? Kata Ibn Qayyim:
“Apakah ruh mereka yang hidup dapat bertemu dengan ruh mereka yang mati? Bukti dan dalil dalam perkara ini sangat banyak, tidak dapat dihitung melainkan Allah. Perasaan (sense) dan realiti antara bukti terkuat bahawa berlakunya pertemuan ruh orang hidup dan orang mati seperti mana bertemunya ruh orang hidup sesama sendiri” (al-Ruh m/s 173).
Kemudian Ibn Qayyim mengemukakan pelbagai hujah yang dimulakan dengan firman Allah (maksudnya) :
“Allah yang mewafatkan jiwa-jiwa dari badan-badan; ketika matinya, dan ketika tidak mati semasa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan kematiannya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir”. (Surah al-Zumar: 42).
Demikian ruh datang dan pergi dari jasad. Ada yang hidup semula, ada yang mati tidak kembali ke jasad. Kata Ibn ‘Abbas ketika menafsirkan ayat di atas:
“Telah sampai kepadaku bahawa ruh orang hidup bertemu ruh orang mati dalam tidur. Mereka bertanya antara satu sama lain. Allah menahan ruh orang yang mati dan melepaskan kembali ruh orang yang hidup ke jasadnya”.
Kesimpulan Ibn Qayyim dan tokoh-tokoh yang lain bahawa kematian dan perpindahan insan ke alam barzakh masih mempunyai ruang untuk insan berhubung atau mengetahui kadar tertentu kejadian di dunia ini. Dari cebisan ilmu kita cuba memahami perkara ini. Namun, kita akhir menyebut firman Allah (maksudnya)
“dan mereka bertanya kepadamu tentang ruh. Katakanlah: “Ruh itu dari urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja”. (Surah al-Isra: 85).
Sumber


UZAR:
Apabila ruh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk. Dakwaan Roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR. Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis, maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara Jin dan Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.
Bukti bahawa Roh tidak boleh kembali berdasarkan dalil berikut :-

Firman Allah ertinya : " Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" ( Al-Mu'minuun : 99-100).
Imam Mujahid (Tabien dan anak murid Ibn Abbas r.a) dan Ibn Zaid berkata tentang ayat ini : "Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke dunia."
Firman Allah ertinya : "Allah SWT memegang jiwa (ruh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa(ruh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.." ( Az-Zumar : 42 ).
Melalui ayat ini, jelas bahawa roh berada di dalam pegangan Allah SWT dan Allah tidak membenarkan sama sekali Roh untuk kembali ke dunia, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat sebelum ini,
Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20). Bagaimanapun, tiada yang berpandangan roh tersebut boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka. Semua roh yang telah di ambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka sama ada baik atau buruk.
Prof Ahmed Azzedine Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed Hussin pernah menegaskan bahwa dakwaan orang-orang kristian yang boleh bertemu dengan ruh si mati dengan teknik jampian kahs adalah penipuan yang menggunakan Jin dan syaitan. Ia bukannya ruh yang sebenar. ( Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan Al-Ruhiya al-Haditha)
Destinasi Roh Selepas Mati.
Ulama berbeza pandangan dalam menentukan tempat tinggal  Roh selepas mati seperti berikut (Rujuk Syarh Al-‘Aqidah At-Tohawiyah, Tahqiq Syuaib Arnout, 2/613-614, cet Muasassah ar-Risalah) :-
a) Roh Mukmin di dalam Syurga dan Roh Kafir di dalam Neraka.
b) Kedua-duanya di dalam kubur mereka, dan Roh Mukmin di bukakan taman Syurga serta memperolehi nikmatnya dan Kafir di bukakan lubang azab neraka.
c) Roh Mukmin di alam tinggi (‘illiyyin) di langit ketujuh dan Kafir di ‘Sijjin' di dunia yang ketujuh terbawah.
d) Roh para Shuhada' (mati syahid) berada di Syurga dan Roh seluruh Mukmin lain berada di kuburan mereka. (pandangan Imam Ibn Abd Al-Barr)
Antara dalil dalam hal destinasi roh selepas kematian ini ada diterangkan di dalam hadith
" Roh yang Mukmin dalam keadaan burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di dalam Syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari dibangkitkannya."  (Ibn Majah, no 1449 ; Ahmad, no 15716 12/315 cet Dar al-Hadis; Sohih menurut Ibn Hibban no. 743, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan sebuah hadith lain, apabila seorang Mukmin itu mati rohnya akan dibawa naik ke langit sehingga sampai ke langit ke tujuh, maka berkata Allah SWT : Tuliskan buku hambaku ini di ‘illiyyin' (tempat yang tinggi) dan kemudian dikembalikannya ke jasadnya kembali dan di datangi pula oleh dua Malaikat ... (Ringkasan Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Manakala Roh si jahat dan Kafir pula juga di bawa naik ke langit dengan bau yang amat busuk dan digelar dengan nama yang terburuk dan apabila sampai di langit, maka tidak dibukakan pintu langit kemudian Nabi SAW membacakan ayat 40 dari Surah al-A'raf . Kemudian Allah SWT mengarahkan agar dtuliskan namanya di dalam ‘Sijjin' (neraka) kemudian di campakkan Rohnya dan Nabi SAW membacakan firman Allah : " Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka adalah seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan ke tempat yang jauh" (Al-A'raf : 31) . Kemudian dikembalikan kepada jasadnya, ...kemudian di datangi Malaikat..lalu dibukakan pintu dari neraka, lalu datanglah kepanasannya dan racunnya, dan kuburnya pula menyempit sehingga bersilang rusuknya. (Ringkasan dari Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan ayat Quran juga, ruh si jahat juga akan di azab di dalam alam barzakhnya. Iaitu :
" Api neraka dikenakan kepada mereka (kafir) pada pagi dan petang, manakala di apabila tiba qiyamat mereka di masukkan bersama keluarga Firaun yang dikenakan azab" (Ghafir : 40)
Kesimpulannya, Roh tidak mampu kembali ke alam dunia kerana Barzakh adalah tembok yang menghalangnya, dan Roh mukmin di berikan nikmat di alam barzakh manakala Roh di kafir diazab sehingga kiamat. Wallahu'alam.

1 ulasan:

  1. Izin Ku Menulis: Hakikat Alam Ruh >>>>> Download Now

    >>>>> Download Full

    Izin Ku Menulis: Hakikat Alam Ruh >>>>> Download LINK

    >>>>> Download Now

    Izin Ku Menulis: Hakikat Alam Ruh >>>>> Download Full

    >>>>> Download LINK

    BalasPadam

Sila berikan sepatah dua kata!