Izin Ku Menulis

Izin Ku Menulis

Rabu, 11 Disember 2013

Tips Penggunaan Kenderaan

 Assalamualaikum.

Saya kongsikan di sini beberapa lagi tips yang berguna bagi penggunaan kenderaan anda. Moga bermanfaat! 

 

Panaskan enjin sebelum mulakan perjalanan


Kurang air dalam radiator punca enjin panas

APABILA anda melihat kereta berasap atau terbakar di tepi jalan, tentu ada sesuatu yang tidak kena pada enjin kereta berkenaan. Salah satu sebab ialah kekurangan air dalam radiator yang menyebabkan enjin panas.

Selain itu, enjin panas juga berpunca daripada paip radiator tersumbat, kekotoran pada sirip radiator dan kerosakan pada kipas dan termostat sistem penyejuk.

Malah, sistem penyalaan kurang tepat, kerosakan pada sistem saluran petrol, ekzos tersumbat, masalah cekam, brek bergesel dan cara pengendalian kenderaan yang kurang baik turut menyebabkan enjin menjadi panas.

Enjin yang terlalu panas boleh mengundang bahaya sekiranya lewat bertindak kerana ia boleh menyebabkan kenderaan anda berasap, terbakar dan seterusnya meletup.

Apabila enjin kereta anda terlalu panas, berhentilah di tepi jalan dengan tempat teduh. Anda tidak harus panik, sebaliknya memberhentikan kereta dan cuba lakukan pemeriksaan sendiri terlebih dulu.

Langkah pertama, buka bonet kenderaan untuk menyejukkan enjin sementara waktu dan periksa salah satu daripada punca yang dinyatakan tadi. Selepas itu, periksa radiator kenderaan untuk memastikan tidak berlaku kebocoran di bahagian itu.

Selepas itu periksa tali kipas. Sekiranya ada kebocoran pada radiator atau tali kipas terputus, matikan enjin. Jika tiada kebocoran pada radiator dan tali kipas masih elok, hidupkan enjin kenderaan dan jalankannya seketika pada putaran yang lebih tinggi daripada biasa.

Langkah itu adalah untuk membolehkan udara mengalir melalui sirip-sirip radiator dengan jumlah yang banyak. Air dalam radiator itu akan menjadi sejuk dan pam air akan bekerja lebih cepat sehingga air penyejuk dapat dialirkan dengan lebih baik.

Tidak lama selepas itu suhu enjin akan menurun. Kemudian turunkan putaran enjin tadi dan buka penutup radiator. Penutup itu perlu dibuka secara berhati-hati untuk mengelakkan bahaya semburan air dan wap panas yang keluar daripada radiator.

Isikan air ke dalam radiator secara perlahan sementara enjin masih dalam keadaan biasa dan matikan enjin sekiranya sudah menjadi sejuk. Sekiranya air terlalu sedikit dalam radiator, ia akan menyebabkan enjin menjadi panas dan wap akan keluar daripada radiator berkenaan.

Dalam keadaan itu, matikan enjin dengan segera dan periksa radiator.

Pertamanya, buka tutup radiator dulu dan ketukannya menggunakan belakang pemutar skru dan putar perlahan menggunakan kain.

Pegang tutup dengan kemas sehingga wap dalam radiator dapat mengalir keluar dan tekanan dalam radiator menjadi rendah. Selepas itu barulah penutupnya dilepaskan.

Sekiranya, ada kebocoran pada radiator terutama pada bahagian sambungan atau saluran paipnya, hidupkan enjin pada putaran yang lebih tinggi daripada biasa serta periksa tempat sambungan itu.

Keadaan itu penting kerana ada sesetengah kebocoran tidak dapat dilihat pada putaran enjin yang rendah. Sekiranya ada kebocoran, ketatkan skru pengikat dan jika gelung pengikat rosak, gunakan kawat sebagai ganti.

Jika ada kebocoran, balut bahagian yang rosak dengan pita pelekat dan perkuatkan dengan kawat. Anda perlu ingat pembaikan itu hanya untuk sementara waktu sebelum kenderaan dibawa ke bengkel berhampiran.

Paip radiator yang tersumbat berpunca daripada kerak atau karat akan mengganggu kitaran air atau menyebabkannya terhenti walaupun ada banyak air.

Keadaan itu boleh diketahui dengan memeriksa aliran air pada pili pembuangan. Jika aliran air tidak lancar atau tidak keluar sama sekali, keadaan itu menunjukkan paip radiator tersumbat.

Untuk membaikinya, buka pili air pada blok enjin sehingga air penyejuk dapat dikeluarkan. Buka tutup radiator dan cuci dengan air bersih selama kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan kerak atau karat itu.

Kekotoran pada sirip radiator disebabkan daun kering, serangga atau lumpur yang melekat pada bahagian muka radiator akan menyebabkan aliran udara penyejuk akan terganggu hingga air menjadi panas.

Kekotoran pada permukaan itu boleh dibersihkan dengan menggunakan udara tekanan tinggi atau menyemburnya menggunakan air. Kekeliruan pada langkah pengendalian kenderaan turut menyebabkan enjin kenderaan menjadi panas.

Walaupun enjin berada dalam keadaan baik tetapi apabila kenderaan sedang mendaki bukit atau membawa muatan berlebihan, ia boleh menjadi panas.

Enjin itu boleh disejukkan kembali dengan cara menghentikan kenderaan anda sebentar, membuka bonet, hidupkan enjin pada putaran tinggi atau isikan radiator dengan air sejuk.

Tindakan bila asap kereta bertukar warna

LAZIMNYA, pengeluaran asap pada ekzos bagi kereta baru tidak perlu dibimbangkan. Tetapi, setelah beberapa tahun menggunakannya, anda tentu bimbang dengan asap ekzos berwarna kelabu dan hitam. Ini menunjukkan ada yang tidak kena pada enjin kereta anda terutama bahagian karburator.

Sebenarnya dengan melihat warna daripada asap ekzos, anda dapat meneliti proses pembakaran yang terjadi dalam silinder.

Antara yang patut diberikan perhatian anda adalah dengan menjawab pertanyaan seperti berikut:

Pertama, adakah asap kereta anda tidak berwarna atau sedikit biru. Jika ini berlaku, anda seharusnya lega kerana ia menunjukkan proses pembakaran baik dengan nisbah perbandingan campuran petrol-udara yang tepat.

Jika asap berwarna kuning atau coklat, bermakna terlalu sedikit petrol yang masuk (campuran terlalu sedikit).

Bagaimana pula jika asap berwarna hitam? Ini bermakna berlaku proses pembakaran yang tidak sempurna kerana terlalu banyak petrol yang masuk. Asap yang keluar berwarna putih atau kebiru-biruan pula bermakna minyak pelincir ikut terbakar. Dalam keadaan sejuk biasanya asap ekzos juga berwarna putih kerana adanya wap air; keadaan seperti ini bagaimanapun biasa terjadi pada setiap enjin.

Dalam keadaan asap ekzos berwarna hitam, ada beberapa kemungkinan yang boleh menyebabkan keadaan itu berlaku termasuk penapis udara tersumbat, injap udara (choke) tertutup dan karburator rosak.

Untuk mengatasinya, mula-mula periksa sama ada penapis udara tersumbat. Ketika enjin bergerak, bukalah penapis udara. Jika dengan kaedah itu putaran enjin bertambah tinggi dan asap tidak lagi hitam, maka jelaslah penapis udara kotor. Bersihkan penapis udara itu.

Selain itu periksa sama ada injap udara (choke) tertutup. Jika tertutup atau tidak terbuka penuh ketika enjin sudah panas, ia akan menyebabkan campuran petrol-udara berlebihan. Untuk memeriksa keadaan itu, bukalah penapis udara dan lihatlah karburator dari sebelah atas. Jika choke tidak terbuka penuh, perbaikilah kedudukannya.

Asap hitam kerana karburator rosak. Jika ini terjadi, bawalah kereta anda ke bengkel.

Asap ekzos berwarna putih apabila minyak pelincir terlalu banyak mengalir masuk ke dalam ruang bakar. Ini terjadi kerana omboh, gelang omboh, dinding silinder, injap dan laluan injap rosak.

Minyak pelincir juga boleh masuk ke ruang bakar jika gasket di kepala silinder rosak sehingga air dapat masuk ke dalam ruang bakar. Wap air yang terjadi kerana panas akan keluar bersama-sama asap ekzos menyebabkan asap berwarna putih.

Namun demikian, biasanya dapat dibezakan antara warna putih wap dan putih akibat minyak pelincir. Wap minyak pelincir berwarna putih dan mengeluarkan bau tertentu.

Periksa bateri kereta setiap minggu


BATERI adalah antara komponen yang begitu penting pada bahagian enjin sesebuah kenderaan. Tanpanya, enjin kenderaan sudah pasti tidak boleh dihidupkan. Begitu juga jika bateri kenderaan anda sudah lemah, rosak dan kekurangan air bateri.

Sebagai pengguna yang peka, anda seharusnya membuat pemeriksaan bateri dan kabelnya sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Anda juga perlu memeriksa bahagian kotak bateri kerana kerosakan pada bahagian itu boleh menjejaskan hayat kuasa bateri kenderaan anda.

Biasanya antara sebab kerosakan itu berlaku sehingga menyebabkan ia tidak tahan lama ialah kerana bahagian dindingnya merekah apabila diresapi asid bateri.

Bateri juga akan kehilangan kuasa sehingga boleh menyebabkan enjin kereta anda sukar dihidupkan jika menggunakan bateri yang sudah retak.

Bagaimanapun, anda masih boleh menggunakan bateri yang bahagian dindingnya sudah retak itu, tetapi perlu mengambil beberapa langkah tertentu.

Antaranya, pindahkan bateri kenderaan anda dengan meletakkannya pada lapik plastik. Anda sewajarnya membersihkan bahagian luar bateri itu terlebih dahulu dengan bahan pencuci seperti sabun serbuk bagi menghilangkan tompokan berminyak dan gris.

Kemudian renggangkan sedikit bahagian retak itu menggunakan pisau sebelum memasukkan simen khas ke dalamnya bagi menampung kerosakan. Batrepair, iaitu simen khas boleh dibeli di kedai aksesori kereta. Anda perlu menunggu sehingga simen khas yang disapukan pada permukaan retak itu kering sebelum mengambil tindakan lanjut.

Selepas kerja membaiki keretakan itu selesai, anda bolehlah memasukkan cecair asid ke dalam lubang disediakan pada paras ditentukan.

Bagaimanapun, anda disyorkan membawa bateri yang dibaiki itu ke bengkel kereta untuk ujian daya kuasa menggunakan alat pengecas khas. Sesetengah bateri yang baru dibaiki boleh dipulihkan kuasa elektriknya ketika enjin kereta dihidupkan.

Perlu diingat, jika terlalu lama mengecas bateri, ia boleh merosakkan bahagian kepingan plumbum. Keretakan plumbum akan menyebabkan daya kuasa bateri menjadi berkurangan sekali gus bateri kenderaan anda terpaksa ditukar.

Bagaimanapun, sesetengah kereta memerlukan alat pengecas khas yang mungkin mengambil masa kira-kira sejam sebelum boleh digunakan.

Pastikan selaput asid yang melekat pada terminal negatif dan positif bateri dibersihkan dari semasa ke semasa sebagai langkah kuasa bateri bertahan lama.

Cara mudah menghapuskan selaput asid itu ialah dengan menuangkan air panas di kedua-dua terminal itu.

Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati ketika menuangkan air panas ke bahagian terminal itu agar tidak terkena pada komponen lain. Kesan sampingan jika selaput asid memenuhi terminal ialah akan menyebabkan arus elektrik tidak sampai ke beberapa komponen yang memerlukan.

Sumber: Blog spare-part-kereta-malaysia

1 ulasan:

  1. Izin Ku Menulis: Tips Penggunaan Kenderaan >>>>> Download Now

    >>>>> Download Full

    Izin Ku Menulis: Tips Penggunaan Kenderaan >>>>> Download LINK

    >>>>> Download Now

    Izin Ku Menulis: Tips Penggunaan Kenderaan >>>>> Download Full

    >>>>> Download LINK

    BalasPadam

Sila berikan sepatah dua kata!