Kebanyakkan
umat Islam di Malaysia pasti akan pernah mendengar kalimat kata-kata
seperti “Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China”, “Perselisihan dalam
umatku dalah rahmat”, “Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku,
sedangkan Ramadan adalah bulan umatku” atau "Sesiapa yang mengenal
dirinya maka dia telah mengenal tuhannya". Ini adalah kerana ianya telah
disebarkan di kalangan masyarakat Islam oleh sesetengah penceramah dan
penulis buku agama dan mereka sandarkannya sebagai sabda Nabi Muhammad
s.a.w.. Namun begitu tahukah anda bahawa kalimat-kalimat tersebut
merupakan hadis palsu (mawdhu’)? Hadis palsu adalah sesuatu yang
diciptakan dan dibuat-buat lalu dinisbatkan kepada Rasulullah s.a.w.
secara dusta baik mengenai ucapannya, perbuatannya mahupun perakuannya. Para
ulamak juga telah sepakat diharamkan untuk meriwayatkan hadis palsu
bagi mereka yang mengetahuinya dalam bentuk apa pun kecuali disertai
dengan penjelasan akan kepalsuan hadis tersebut. Dalil yang mengharamkan
periwayatan hadis palsu adalah sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya
berdusta di atas (nama)ku tidaklah sama dengan dengan berdusta kepada
orang lain. Maka barangsiapa yang berdusta di atas (nama)ku dengan
sengaja, hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka” – Hadis
riwayat Imam Bukhari (no: 1291) dan Muslim (no: 4) di dalam kitab Shahih
mereka.
Namun
begitu amat mendukacitakan apabila amaran keras daripada baginda s.a.w.
ini tidak di ambil peduli oleh sesetengah pihak termasuk di kalangan
para ustaz dan ustazah. Bagi orang awam yang memiliki ilmu yang minimal
dalam bidang hadis pasti akan menerima bulat-bulat hadis-hadis palsu
tersebut dan menganggap ianya benar-benar datangnya daripada Rasulullah
s.a.w. lalu mengamalkannya. Maka bertebaranlah amalan-amalan bidaah
serta fahaman-fahaman yang sesat di tengah-tengah masyarakat.
Melihatkan
wujudnya ancaman yang keras daripada baginda, maka perlu bagi umat
Islam untuk mengetahui ciri-ciri yang terdapat di dalam hadis palsu agar
mudah kita mengesannya. Hadis palsu ini dapat dikenal pasti melalui
kecacatan yang terdapat pada sanad (rangkaian para perawi yang
menyampaikan hadis tersebut) mahupun matannya (isi kandungan hadis
tersebut). Di antara ciri-ciri untuk mengenali hadis palsu adalah:
a)
Pengakuan dari mereka yang memalsukan hadis tersebut. Sebagai contohnya
Tatkala Ibnu Abi Al-Auja’ ditangkap dan hendak dipenggal lehernya dia
telah berkata: “Aku telah membuat di antara kamu empat ribu Hadis yang
menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.”
b)
Terdapat petunjuk bahawa perawi tersebut termasuk kalangan pedusta dan
hadis tersebut tidak diriwayatkan oleh perawi lain. Sebagai contohnya
perawi dari kalangan pengikut Syi’ah al-Rafidhah seperti Abu Mikhnaf.
c)
Perawi hadis tersebut mengaku secara dusta bahawa dia telah mengambil
riwayat daripada seseorang yang tidak pernah ditemuinya. Hal ini boleh
diketahui melalui tarikh lahir dan wafat seseorang perawi mahupun
tempatnya bermukim. Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi mendakwa ada mendengar
Hadis daripada Hisyam bin ‘Amman abang kepada Ibnu Hibban, maka Ibnu Hibban bertanya: “Bilakah engkau ke kota
Syam?” Ma’mun menjawab: “Pada tahun 250H.” Mendengar itu Ibnu Hibban
berkata: “Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.” Dari sini dapat
diketahui bahawa Ma’mun sebenarnya tidak pernah bertemu dengan Hisyam.
d)
Apabila seorang perawi itu mengaku bahawa Nabi s.a.w. telah melakukan
sesuatu perkara di hadapan para sahabat yang lain, tetapi mereka
bersepakat untuk menyembunyikan perkara tersebut dan tidak
menyebarkannya. Sebagai contohnya hadis palsu ini: “Sesugguhnya
Rasulullah s.a.w. meraih tangan ‘Ali bin Abi Thalib r.a di hadapan
seluruh sahabat. Mereka baru sahaja tiba dari melaksanakan haji wada’.
Lantas Nabi (membuat ‘Ali) berdiri ditengah-tengah mereka sehingga dapat
dilihat oleh semua hadirin. Kemudian baginda bersabda: “Ini adalah
waashiku (orang yang menerima wasiat) dan saudaraku serta khalifah
(orang yang menggantikan) setelah aku. Maka dengarkanlah oleh kamu semua
(perkataannya) dan taatilah (perintahnya).”
e)
Hadis tersebut bercanggah dengan ajaran al-Qur’an ataupun hadis yang
sabit daripada Rasulullah s.a.w.. Sebagai contohnya hadis palsu: “Anak
Zina tidak akan masuk ke syurga sampai tujuh keturunan” yang bercanggah
dengan firman Allah S.W.T.: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan
oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung
dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa
perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). – al-An’aam (6) :
164
f)
Hadis tersebut bertentangan dengan logik akal serta nilai-nilai
keilmuan seperti hadis palsu dengan lafaz ini: “Bahawasanya bumi ini di
atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila
lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu.”
Termasuk dalam kategori ini adalah hadis-hadis tentang khasiat sesuatu
bahan makanan terhadap kesihatan manusia namun ianya ternyata bercanggah
dengan ilmu perubatan seperti hadis palsu ini: “Buah terung itu adalah
penawar bagi segala penyakit.”
g)
Susunan kata-kata dalam hadis tersebut tidak mencerminkan ianya keluar
dari mulut seorang Nabi yang mana Allah s.w.t. telah berfirman:
Dan
dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam)
menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya
itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang
diwahyukan kepadanya. – al-Najm (53) : 3-4
Misalnya hadis palsu ini: “Melihat wajah yang tampan itu boleh mempertajamkan pandangan mata.”
h)
Matan hadis tersebut mencemari sifat-sifat Allah yang maha sempurna
dari sebarang bentuk kecacatan dan tidak menyerupai makhluknya seperti
hadis palsu ini: “Bahawasanya Allah s.w.t. menciptakan kuda lalu
dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Dia menciptakan dirinya dari
kuda itu.” Termasuk dalam hal ini adalah menceritakan tentang perbuatan
Allah s.w.t. secara tidak benar seperti hadis: “Sesungguhnya Allah telah
menciptakan langit dan bumi pada hari ‘Asyuraa.”
i)
Hadis yang menerangkan pahala yang sangat besar terhadap sesuatu
kebajikan yang sangat kecil. Sebagai contohnya hadis palsu yang
berbunyi: “Sesuap makanan yang diberikan kepada orang lapar lebih utama
dari membina seribu jamek (masjid).”
j)
Hadis yang menunjukkan amal ibadah yang melampau serta menyusahkan
seperti solat tanpa henti semalaman dan memilki jumlah rakaat ratusan
bahkan mencecah ribuan seperti solat al-Raghaaib pada hari Jumaat yang
pertama dalam bulan Rejab, zikir-zikir yang mencecah ribuan kali dan
dilakukan pula tidak sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. seperti berteriak
serta menari-nari. Sebagai contohnya adalah hadis palsu: “Jangan kalian
melalaikan Jumaat pertama pada bulan Rejab kerana sesungguhnya Jumaat
pertama pada bulan Rejab adalah malam yang dinamakan malaikat dengan
malam raghaaib.”
k)
Hadis yang menunjukkan sifat perkauman serta mencela kaum yang lain
seperi hadis palsu: “Rasulullah melihat makanan, lantas baginda
bersabda: “Milik siapa ini?” Al-Abbas berkata: “Milik orang-orang
Habsyah, (makanan) milik mereka.” Rasulullah bersabda: “Jangan kamu
lakukan (berikan), Sesungguhnya mereka jika lapar akan mencuri dan jika
kenyang akan berzina.”
l)
Hadis yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat besar atas kesalahan
yang kecil. Umpamanya: “Barangsiapa memakan bawang putih pada malam
Jumaat, maka hendaklah dia masuk Neraka selama tujuh puluh tahun.”
Penulis
yakin pada saat ini para pembaca sudah mula sedar betapa jeleknya
hadis-hadis palsu ini dan telah maklum amaran keras daripada Rasulullah
s.a.w. bagi mereka yang menyebarkannya. Tentu akan bermain-main di
fikiran para pembaca tentang siapakah yang tergamak untuk memalsukan
hadis-hadis Nabi ini. Maka berikut penulis akan senaraikan golongan yang
bertanggung jawab memalsukan hadis-hadis Nabi.
a)
Mereka yang memalsukan hadis dalam rangka mengajak manusia ke arah
kebaikan dan menghindari kemungkaran. Dalam satu kajian teliti yang
dibuat oleh Mu’ammal bin Ismail, beliau telah menemui orang yang
membuatnya. Kata beliau: “Aku telah diriwayatkan Hadis ini oleh seorang
Syeikh, lalu aku bertanya: “Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada
anda?” Syeikh itu menjawab: “Seorang laki-laki di Madain, dia masih
hidup.” Aku pergi menemui laki-laki itu lalu bertanya: “Siapakah yang
meriwayatkan Hadis ini kepada anda?” Orang itu menjawab: “Saya telah
diberitahu oleh seorang Syeikh di Wasith.” Aku pergi menemuinya dan
berkata: “Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada anda?” Dia
menjawab: Seorang Syeikh di Abadan. Saya pergi menemui Syeikh itu
bersama-sama dengan Syeikh dari Bashrah tadi. Dia memegang tanganku lalu
membawaku masuk ke dalam sebuah rumah, tiba-tiba aku dapati kaum sufi
yang berada dalam rumah itu dan bersama-sama mereka ada seorang Syeikh
mereka. Saya bertanya: “Siapakah yang meriwayatkan hadis ini kepada
anda?” Syeikh itu menjawab: “Tiada sesiapapun yang meriwayatkan hadis
itu kepadaku, tetapi kami telah melihat manusia telah jauh dari Al-Quran
lantas kami buatlah hadis ini untuk mereka bagi memalingkan hati mereka
kepada Al-Quran”.”
Mereka
berpandangan tidak menjadi kesalahan untuk menyebarkan riwayat-riwayat
palsu asalkan sahaja kandungan hadis tersebut membawa ke arah kebaikan.
Pada tanggapan mereka kedustaan yang mereka lakukan hanyalah semata-mata
untuk membantu agama Allah. Adakah mereka ini merasakan ayat-ayat
al-Qur’an serta hadis-hadis Nabi tidak cukup sempurna untuk dijadikan
landasan bagi tarhib dan targhib? Ternyata pemikiran rosak ini
berpangkal dari kejahilan mereka terhadap syari’at Islam. Berpunca
daripada tangan-tangan kotor mereka inilah maka banyak amalan-amalan
bidaah tersebar dalam masyarakat. Amalan bidaah ini pernah dicela oleh
Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:
Sesungguhnya
sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik
petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk
perkara adalah yang diada-adakan (bidaah) dan setiap yang diada-adakan
(bidaah) adalah sesat. - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya,
no: 867
b) Para
tukang cerita atau lebih dikenali sebagai al-Qashshaash yang mencipta
hadis-hadis palsu agar orang ramai merasa tertarik dengan ceramah yang
disampaikan. Apabila dia berjaya menarik perhatian orang ramai maka
tentu dia akan mendapat banyak jemputan untuk berceramah dan semakin
banyak pula upah yang akan diterima. Di antara contoh golongan ini
adalah Maisarah bin Abdu Rabbih. Ketika ditanya: “Dari mana anda
dapatkan hadis-hadis ini?” Dia menjawab: “Aku memalsukannya untuk
menggembirakan orang.”
c)
Para peniaga yang ingin melariskan jualannya maka diciptakan
hadis-hadis palsu yang menunjukkan khasiat barangan jualannya tersebut.
Sebagai contoh kita melihat mereka yang menjual ubat-ubatan berasal dari
daging Dhab, maka dia membawa riwayat-riwayat yang menunjukkan ianya
adalah perubatan Nabawi. Sedangkan Rasulullah s.a.w. tidak makan daging
dhab.
Telah berkata Khalid bin Walid: “Ya Rasulullah adakah haram memakan dhab?”
Rasulullah bersabda: “Tidak, tetapi ia bukan makanan bagi kaumku, maka aku tidak memakannya.”
“Makan
dihidangkan dhab kepada Khalid lalu dia memakannya sedangkan Rasulullah
s.a.w. melihat (Khalid memakannya). - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di
dalam Sunannya, no: 4242
Hal
yang sama kita dapat bagi mereka yang menjual tasbih yang diperbuat
dari kayu koka, kismis jampi, capal Nabi dan air jampi yang kini telah
dikilangkan dan dijualkan secara komersial. Tanpa segan-silu mereka
telah meriwayatkan perkara yang palsu tentang fadilat barang jualan
mereka dan ianya secara tidak langsung telah menyebabkan orang ramai
sanggup berhabisan wang ringgit demi untuk mencapai fadilat palsu
tersebut.
d)
Golongan zindik dan munafik yang berpura-pura menjadi orang Islam
bertujuan untuk merosakkan Islam dari dalam dengan membuat banyak
hadis-hadis palsu. Golongan ini dikatakan telah membuat empat belas ribu
hadis palsu. Abdul-Karim bin al-Auja’ sahaja telah mengaku membuat
empat ribu hadis mengenai halal dan haram. Mereka ini telah membuat
hadis-hadis yang menyebarkan keyakinan yang syirik, amalan-amalan
bidaah, manganjurkan perkara mungkar, perkara yang melemahkan umat Islam
dan lain-lain. Lihat bagaimana akidah sesat yang dibangunkan di atas
dalil-dalil palsu namun ianya masih di amalkan dalam masyarakat kita
seperti fahaman Nur Muhammad, Wahdatul Wujud dan Tawasul di kuburan. Ini
semua adalah hasil dari serangan yang dilakukan oleh golongan zindik
dan munafik melalui riwayat-riwayat palsu.
e)
Kelompok fanatik mazhab juga akan mencipta hadis-hadis palsu demi untuk
meninggikan kedudukan imam mazhab mereka serta menguatkan
pendapat-pendapatnya. Sebagai contoh di kalangan pengikut fanatik mazhab
Hanafi mereka mencipta hadis palsu untuk memburuk-burukan Imam
al-Syafi’i r.h. Hadis palsu tersebut memiliki lafaz begini, Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Akan muncul di kalangan umat aku seseorang yang
bernama Muhammad bin Idris (Imam al-Syafi’i) yang akan mendatangkan
kerosakan kepada umat ku lebih buruk daripada iblis dan akan muncul pula
di kalangan umat ku seorang lelaki bernama Abu Hanifah yang akan
menjadi cahaya penyuluh umat aku.”
Penipuan
serta pemalsuan sebegini juga merupakan budaya hidup kelompok Syi’ah.
Maka tidak hairanlah sekiranya mereka inilah golongan yang paling banyak
memalsukan hadis untuk menyokong pegangan mazhabnya yang sesat. Imam
Malik r.h ketika di tanya tentang mereka beliau menyatakan: “Jangan
mengajak berbicara dengan mereka dan jangan meriwayatkan daripada mereka
kerena mereka adalah para pendusta.” Sebagai contohnya untuk menghina
para sahabat mereka telah membuat riwayat palsu seperti ini: “Daripada
Abu Ja’far yang berkata: “Semua manusia itu telah murtad setelah
wafatnya Nabi kecuali 3 orang.” Aku bertanya: “Siapakah yang 3 orang
itu?” Maka jawabnya : “Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Dzarr al-Ghifari dan
Salman al-Farisi.”
f)
Terdapat juga mereka yang sengaja membuat hadis palsu demi untuk
mendekatkan diri kepada penguasa bagi mendapat ganjaran duniawi. Ini
adalah seperti kisah Ghiath bin Ibrahim An-Nakha’ie Al-Kufi pada satu
hari datang berkunjung ke istana Al-Mahdi. Di kala itu Al-Mahdi sedang
bermain burung dara (merpati) kerana beliau sangat suka dengan
burung-burung merpati itu. Maka berkatalah Ghiath:
“Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada pertaruhan melainkan pada anak panah, unta atau kuda, ataupun burung.”
Hadis
yang dibawa oleh Ghiath adalah benar, tetapi tambahan perkataan
“ataupun burung” itu adalah perkataan Ghiath sendiri untuk tujuan
membodek al-Mahdi. Al-Mahdi memahami maksud Ghiath itu lalu disuruh
supaya Ghiath diberi hadiah. Dan setelah Ghiath pergi, maka Al-Mahdi
berkata: “Aku naik saksi atas engkau, bahawa engkau adalah seorang
pendusta terhadap Rasul.” Dan kemudian dia berkata pula: “Akulah yang
mendorongnya berbuat demikian. Al-Mahdi kemudian menyuruh supaya burung
merpati itu disembelih.”
g) Ada
juga golongan yang mencipta hadis palsu bermotifkan politik. Sebagai
contohnya ketika terjadi perselisihan di antara Muawiyah bin Abi Sufiyan
dan ‘Ali bin Abi Talib maka banyak riwayat-riwayat palsu dicipta demi
untuk menguatkan pihak yang disokong mereka. Bagi penyokong ‘Ali mereka
membuat hadis palsu: “Apabila kamu melihat Mu ‘awiah di atas mimbarku,
maka bunuhlah akan dia.” Bagi mereka yang menentang ‘Ali maka mereka
mencipta hadis palsu: “Tidak ada satu pohon pun dalam Syurga kecuali
tertulis atas tiap-tiap daunnya “Tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t. dan
Muhammad itu pesuruh Allah s.w.t.”, Abu Bakar al-Shiddiq, ‘Umar al-Faruq
dan ‘Uthman Zun-Nuraini.”
Begitu
juga bagi pengikut kerajaan Bani ‘Abbasiyah mereka mengeluarkan hadis
palsu ini : “’Abbas itu ialah orang yang memelihara wasiatku dan ahli
warisku.” Bagi pengikut bani Umayyah pula mereka meriwayatkan hadis
palsu ini: “Orang-orang yang kepercayaan itu ada tiga orang; Aku
(Muhammad), Jibril dan Mu’awiah.”
Demikianlah
beberapa contoh golongan yang secara sengaja menempah tempat duduk
mereka di neraka dengan mencipta hadis-hadis palsu. Penulis yakin
setelah melihat ciri-ciri hadis palsu serta golongan yang
bertanggungjawab menciptanya maka sedikit-sebanyak kesan-kesan buruk
yang disebabkan oleh hadis palsu ini terhadap masyarakat akan jelas
terbayang di minda para pembaca. Menyedari hakikat ini para ulamak hadis
semanjak zaman berzaman telah merumus serta menerapkan kaedah-kaedah
ilmu hadis demi untuk memudahkan umat Islam mengenali hadis-hadis palsu
tersebut. Di antara karya-karya cemerlang warisan ulamak hadis adalah
seperti al-Dhu’afa karya Imam al-Bukhari, al-Dhu’afa wa al-Matrukun
karya Imam al-Nasaa’i, Mizan al-I’tidal karya Imam al-Dzahabi, Tahzib
al-Kamal oleh al-Mizzi, al-Maqaashid al-Hasanah Fii Bayaan Katsiir Min
al-Ahaadiits al-Musytahirah ‘Ala al-Alsinah karya al-Hafidz as-Sakhawy,
Taqrib al-Tahzib oleh al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, al-Laali’ah
al-Mashnu’ah karya Imam as-Suyuthi, al-Maudhu’at oleh Ibnul Jauzi,
Tanzihu al-Syari’ah al-Marfu’ah’An al-Ahadis al-Syari’ah al-Mawdhu’ah
oleh Ibnu Iraq al-Kittani dan karya Syaikh al-Albani bertajuk Silsilah
al-Hadis al-Dha’ifah wal al-Mawdhu’ah serta banyak lagi. Sewajarnya
pihak yang bertanggungjawab di Malaysia
ini menyambung warisan yang ditinggalkan oleh para ulamak hadis ini
dengan menubuhkan sebuah Institusi Hadis peringkat kebangsaan yang akan
memantau serta membasmi penyebaran hadis-hadis palsu mahupun lemah
(dha’if) dalam segala bentuk sama ada secara penulisan mahupun lisan.
Jumlah mereka yang pakar dalam bidang hadis di Malaysia
sebenarnya adalah begitu sedikit dan ini juga membuka ruang untuk
hadis-hadis yang palsu dan lemah dipergunakan secara semberono. Semoga
dengan penubuhan institusi yang sedemikian rupa, ianya akan dapat
melahirkan lebih ramai alim-ulamak dalam bidang hadis di negara kita Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila berikan sepatah dua kata!