Imam Muhammad bin Idris Al-Syafi’i rahimahullah merupakan
seorang tokoh Islam yang agung dan cukup dikenali oleh rata-rata umat
Islam di Timur dan Barat sehingga tidak ada majlis-majlis ilmu melainkan
disebutkan di dalamnya nama beliau.
Beliau rahimahullah lahir pada tahun 150H dan hidup dalam
keadaan yatim di bumi Gaza, Palestin. Beliau telah menghafal Al-Quran
ketika masih muda iaitu sebelum umurnya tujuh tahun, setelah ibunya
membawa beliau ke Hijaz, sebuah tempat berhampiran Makkah. Beliau hidup
dalam keadaan sangat miskin mengenangkan dirinya adalah seorang yatim.
Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala telah melimpahkan ke atasnya nikmat kecerdikan dan kepintaran, di samping ibu yang sangat prihatin di dalam mengasuh beliau.
Apabila guru kepada Imam Al-Syafi’i melihat kepandaian dan kepantasan
minda beliau, Imam Al-Syafi’i adakalanya diangkat menggantikan tempat
gurunya di dalam mengajar anak-anak murid gurunya. Disebabkan terlalu
miskin, beliau menulis ilmu yang dia dapatkan di atas tulang, dan
setelah banyak, dia memasukkan tulang-tulang itu ke dalam sebuah bekas
besar.
Ibunya yang risau dan menitik beratkan persekitaran dan didikan yang
baik untuknya telah membawanya ke Makkah supaya dapat terus menerima
tarbiyah sebaik mungkin. Makkah pada masa itu menjadi pusat ilmu.
Kepintaran minda yang dimiliki oleh Imam Al-Syafi’i adalah kelebihan
yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas manusia seperti mana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: “Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, dia akan diberikan kefahaman terhadap agama.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Imam Al-Syafi’i rahimahullah telah memberikan penekanan dalam tiga perkara; Pertama, menghafal Al-Quran dengan hafalan yang tepat lagi sempurna. Kedua,
penguasaan Bahasa Arab, kerana Bahasa Arab adalah kunci kepada memahami
Al-Quran dan Al-Sunnah. Selamanya seorang penuntut ilmu tidak akan
dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan RasulNya sallallahu ‘alaihi wasallam kecuali dengan menguasai Bahasa Arab. Adapun memahami agama dengan selain Bahasa Arab, kita akan bergantung kepada penterjemah.
Ketiga, beliau memberi penekanan kepada Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini membuatkan beliau telah menghafal dengan sempurna kitab Al-Muwattha’ Imam Malik di Makkah sebelum mencapai 20 tahun. Kemudian barulah beliau bermusafir ke Madinah untuk bertemu Imam Malik.
Imam Al-Syafi’i rahimahullah berulang alik di antara Makkah
dan Madinah sehinggalah wafatnya Imam Malik, dan beliau telah
menghimpunkan sebanyak mungkin ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik
sehingga beliau menjadi hujah serta rujukan di dalam bahasa Arab secara
khasnya.
Sekembalinya ke Makkah, jiwanya dahagakan ilmu dari Ulama Yaman
mengenangkan beliau mengetahui bahawa Yaman adalah gudang ilmu. Akibat
kemiskinan, ibunya memohon bantuan saudara mara untuk membawa Imam
Al-Syafi’i ke Yaman, dan menggadaikan rumah ibunya di mana wang itu
diberikan sebagai bekal kepada Imam Al-Syafi’i.
Imam Al-Syafi’i hidup pada zaman awal pemerintahan ‘Abasiyah, di mana
pemerintah pada masa itu telah menjadikan mazhab Hanafi sebagai
pegangan. Mereka mengangkat ulama Hanafi sebagai rujukan dan sistem
kehakiman turut merujuk kepada mazhab Hanafi. Imam Al-Syafi’i bermusafir
ke Baghdad untuk mengambil ilmu dari Muhammad bin Al-Hasan Al-Syaibani rahimahullah
iaitu anak murid kepada Imam Hanafi sendiri. Di antara ciri mazhab
Hanafi pada masa itu adalah memberi penekanan kepada masalah-masalah
berkaitan muamalah dan jual beli mengakibatkan penumpuan lebih kepada
permasalahan seperti ini.
Baghdad pada masa itu menjadi pusat ilmu kepada umat Islam di mana
ramai di kalangan ulama menetap di Baghdad, dan di situ jugalah Imam
Al-Syafi’i bertemu dengan ulama-ulama hadis antaranya Imam Ahmad rahimahullah dan selainnya. Di sinilah Imam Al-Syafi’i memulakan penulisan buku-buku utama beliau. Beliau menulis kitab Al-Risalah Al-Uula yang
menghimpunkan ilmu Usul Fiqh dan Mustalah Hadis. Di dalamnya beliau
menghimpunkan kaedah-kaedah dasar dan prinsip-prinsip salaf. Apa yang
dilakukan oleh Imam Al-Syafi’i ini dianggap suatu yang cukup penting dan
tidak dilakukan oleh Ulama pada masa itu.
Selepas itu, satu peristiwa yang cukup penting berlaku di Iraq. Ulama
Ahli Kalam dan Muktazilah telah berjaya menguasai keadaan politik.
Mereka menyebarkan fahaman Al-Quran itu makhluk di kalangan masyarakat
Umat Islam. Ini membuatkan para Ulama seperti Imam Ahmad dan Imam
Muhammad Al-Khuza’i bertindak untuk menyanggah pemahaman yang sesat ini.
Hal ini membuatkan Imam Al-Syafi’i mengambil keputusan keluar dari
Iraq. Beliau berpindah ke Madinah dan membaca semula kitab Al-Muwattha’.
Kemudian Imam Al-Syafi’i mula berfikir untuk bermusafir ke Mesir.
Beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Mesir kerana ingin
menyelamatkan akidahnya dari akidah Ahli Kalam dan juga Muktazilah.
Apabila tiba di Mesir, beliau berdepan dengan musibah yang kedua.
Beginilah dilema yang dihadapi oleh orang-orang Ghuraba (asing) dalam
agama, hidup di dalam keterasingan, tetapi berada di dalam kebaikan di
saat manusia lain telah rosak. Di sana, beliau berdepan dengan masalah
taksub (fanatik) mazhab Imam Malik. Beliau bersungguh-sungguh menyanggah
sikap taksub mereka itu dengan lisannya dan penanya sehingga ramai dari
kalangan Muslimin kembali kepada kebenaran.
Inilah perjalanan agung yang dilalui Imam Al-Syafi’i rhm yang
mengambil tempoh kira-kira 50 tahun di mana hasilnya beliau telah
menghimpunkan perkataan ulama dan ilmu-ilmu kaedah dan prinsip yang
sebahagiannya akan diulas sebentar lagi.
PRINSIP IMAM SYAFI’I DALAM AKIDAH
Pertama: Berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunnah dan tidak
menolak satu pun daripadanya dengan apa juga bentuk takwil (mengubah
maksud). Beliau sangat menekankan supaya berpegang dengan Sunnah
sehingga beliau dinamakan sebagai Nasir Al-Sunnah (Pembela
Sunnah). Beliau memerintahkan pengikutnya supaya terus berpegang dengan
Sunnah dan mengharamkan mereka menyelisihi Al-Quran dan Al-Sunnah, dan
menjadikan prinsip beliau, “Sekiranya hadis itu sahih maka itulah
mazhabku”.
Beliau berkata, “Apabila kamu dapati kata-kataku bercanggah dengan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam maka
hendaklah kamu mencampakkan kata-kataku ke dinding.” Juga beliau
mengatakan, “Aku beriman dengan Allah dan dengan apa yang diturunkan
oleh Allah berdasarkan apa yang dikehendaki oleh Allah. Aku juga beriman
dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang dibawakan oleh Baginda mengikut apa yang dikehendaki oleh Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.”
Juga termasuk dalam apa yang sangat penting dan ditekankan oleh beliau rahimahullah adalah prinsip berpegang dengan hadis-hadis ahad dalam akidah.
Imam Al-Syafi’i tidak akan menolak hadis dengan apa juga takwil
ataupun penyimpangan. Bahkan beliau berpegang dengan zahir nas, sejajar
dengan zahir nas itu berdasarkan Bahasa Arab dan apa yang difahami oleh
generasi Salaf Al-Soleh. Juga di antara kata-kata beliau adalah Al-Quran
dan Al-Sunnah sama sekali tidak akan bercanggah di antara satu sama
lain.
Kedua: Tidak menyanggah Al-Quran atau Sunnah dengan hujah
akal. Beliau mengatakan, “Seperti mana pandangan mata ada had dan
batasnya, begitu jugalah dengan akal manusia memiliki had dan batasnya.”
Maka di sisi Ahli Sunnah wal Jama’ah, nas Al-Quran dan Al-Sunnah sama
sekali tidak akan bercanggah dengan akal manusia yang sihat. Adapun
perselisihan berlaku antara keduanya apabila muncul ilmu kalam yang
tidak menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai hujah sebaliknya mereka
menjadikan falsafah dan akal sebagai hujah.
Ketiga: Penekanan terhadap perkataan atau pemahaman para sahabat radhiyallahu ‘anhum. Imam Al-Syafi’i rahimahullah sangat menjunjung tinggi kedudukan para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
Beliau telah menghimpunkan banyak atsar ataupun kata-kata para Sahabat
dan juga salaf di dalam buku-buku karangan beliau. Beliau mengatakan,
“Sesungguhnya para sahabat lebih mendahului kita kepada kebaikan
berbanding kita, dan kefahaman mereka lebih baik daripada kefahaman
kita.”
Inilah perkara yang menjadi ijma’ Ulama Salaf sepanjang zaman,
berbeza dengan Ahli Bid’ah serta golongan yang mengagungkan
Syaikh-syaikh serta Ulama mereka.
Keempat: Menjauhi bid’ah dan ahli bid’ah. Beliau rahimahullah
sangat membenci bid’ah dan juga orang-orang bid’ah, dan beliau
selamanya tidak akan duduk bersama mereka kecuali kerana darurat atau
untuk mengajarkan mereka agama. Ini kerana beliau risau kalau
terpengaruh dengan kesesatan mereka. Maka menjauhi golongan bid’ah
menjadi satu penawar buat kita dari terkesan dengan penyakit mereka.
Apabila beliau melihat ahli bid’ah beliau berkata, “Sama ada kamu
berbincang dengan kami dengan cara yang baik atau kamu beredar sahaja.”
Kelima: Mencintai sesama saudara Islam serta menjaga sillaturrahim sesama mereka. Beliau rahimahullah
sanggup menggadaikan hartanya pada jalan Allah untuk membantu kaum
Muslimin, dan bersabar di dalam menanggung kemiskinan dan kesusahan, dan
beliau juga bersabar terhadap kezaliman pemerintah. Inilah antara
prinsip-prinsip penting dan utama yang menjadi pegangan Imam Al-Syafi’i rahimahullah.
Sumber Ustaz Idris Sulaiman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila berikan sepatah dua kata!