Apabila saya menyebut
bahawa hendaklah kita menjawab salam ‘bukan muslim’ yang tidak memerangi
Islam, ada kelompok ekstrimis yang membantah mati-matian. Alasan mereka
senang sahaja; ‘kami
tidak pernah dengar pun ada tok guru pondok kami ajar demikian’.
Mereka ini jadikan seakan ilmu Islam keseluruhannya terkumpul di
pondok-pondok yang pernah mereka belajar. Sesetengah pihak pula telah
mengharamkan diri dari membaca atau mentelaah apa yang tidak pernah disebut
oleh mazhab nusantara atau generasi lama di tempatnya. Sumbangan pengajian
pondok di rantau ini tidak boleh dinafikan. Namun sentimen tanpa hujah bukan
ilmu yang diiktiraf dalam Islam.
Ustaz Bukan Rasul
Islam adalah agama yang
sejahtera. Penampilan dan inti kandungannya adalah berteras kekukuhan nilai
dan keindahan hakiki. Islam itu akan indah jika kita benar-benar jadikan
teras kefahaman kita terhadapnya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
Pendapat golongan
‘ustaz’ bukan kesemuanya pasti tepat dengan kedua sumber agung
tersebut. Bukan semua yang dianugerahkan darjah kenamaan ‘ustaz’ menguasai
tajuk yang dia ajar atau perkatakannya. Jika semua seiras dengan ajaran
al-Quran dan al-Sunnah tentu tiada perselisihan pokok antara sesama ‘ustaz’. Jika tidak,
masakan ada ustaz-ustaz yang berlainan kumpulan politik sesat menyesatkan
antara satu sama lain.
Kesimpulannya, pandangan
golongan agama boleh diterima dan ditolak. Hanya yang tidak boleh ditolak
ialah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengemukakan hujah
berteraskan kedua sumber agung itu dan menuruti kaedah kefahaman nas yang
diakui oleh disiplin kesarjanaan, maka pendapat diiktirafnya. Jika tidak, ‘ustaz’ atau ‘tok guru’ atau ‘mufti’ bukan rasul
yang diutuskan sehingga setiap kalimah dari mulut mereka dinilai dengan
neraca kewahyuan.
Hujah
Berbalik kepada isu
salam, apakah kenyataan saya mengenai boleh menjawab salam kepada bukan
muslim ini sesuatu yang baru direka, atau sesetengah golongan agamawan lebih
cenderung kepada sentimen tempatan semata. Di sini saya petik apa yang
disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya
yang terkenal Zad
al-Ma’ad:
“Telah berbeza pendapat
para ulama salaf dan khalaf mengenai hukum memberi salam kepada Yahudi dan
Kristian. Kata kebanyakan ulama tersebut: “tidak dimulakan ucapan salam
kepada mereka”. Ulama yang lain berpendapat: “harus memulakan ucapan salam
kepada mereka, seperti mana harus menjawabnya. Pendapat ini (kedua)
diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz. Ia juga salah
satu pendapat dalam Mazhab al-Syafi’i. Namun empunya pendapat ini dalam
Mazhab al-Syafi’i menyatakan: Disebut al-Salam ‘alaika tanpa menyebut wa
rahmatullah, dan secara ifrad (untuk seorang sahaja). Segolongan ulama
berpendapat: “Harus memulakan salam kepada Yahudi dan Kristian disebabkan
kemaslahatan yang lebih utama yang diperlukan, atau bimbang tindakannya, atau
hubungan kekeluargaan, atau apa-apa yang memerlukannya. Diriwayatkan pendapat
ini dari Ibrahim al-Nakha’i dan ‘Alqamah. Kata al-Auza’i: “Jika engkau
memberi salam kepada mereka (Yahudi dan Kristian), telah pun memberi salam
kepada mereka sebelum ini golongan soleh. Jika engkau tidak memberi salam
kepada mereka, telah pun tidak memberi salam kepada mereka sebelum ini
golongan soleh yang lain”.
Sambung al-Imam Ibn
Qayyim lagi:
“Para ulama berbeza
pendapat tentang menjawab salam mereka. Majoriti ulama berpendapat wajib
menjawab. Inilah pendapat yang benar. Kata segolongan ulama tidak wajib
menjawab..”
Kata al-Imam Ibn Qayyim
lagi:
“Telah sabit dalam hadis,
Nabi s.a.w lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin
penyembah berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka
semua”.(Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, 2/425-426, Beirut: Muassasah
al-Risalah 1990).
Al-Imam al-Bukhari dalam
kitabnya Al-Adab al-Mufrad
di bawah tajuk Bab Kaif
al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir
Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas:
“Jawablah salam sama ada
Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari Surah
al-Nisa ayat 86) “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu
ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik
daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah
sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu” (riwayat ini bertaraf hasan).
Dalam riwayat yang lain
dalam al-Adab al-Mufrad
juga di bawah bab Iza
Kataba al-Zimmi Fasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir
Zimmi Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab
ini dimuatkan kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat
kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia ditanya:
Adakah engkau memberi
salam kepadanya, sedangkan dia kafir?. Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis
surat kepadaku dengan memberi salam, maka akupun menjawabnya”.
Riwayat-riwayat yang
seperti ini sepatutnya dibaca oleh sesiapa yang ingin membicarakan tajuk ini
sebelum menghukum sesuatu pandangan sebagai menyeleweng. Malangnya di negara
ini, sesetengah golongan agama tidak menjadikan fakta sebagai teras
perbincangan, sebaliknya sentimen guru tradisionalnya yang jadikan ukuran
kebenaran.
Fahami Sebab Hadis
Adapun hadis-hadis yang
menyuruh dijawab ‘wa
‘alaika’ (ke atas kamu) terhadap salam Yahudi ialah disebabkan
orang Yahudi pada zaman Nabi s.a.w apabila memberi salam menyebut as-samu ‘alaikum yang
bermaksud: maut atau kemusnahan ke atas kamu. Mereka cuma mengelirukan
pendengaran orang Islam. Justeru itulah Nabi s.a.w menyuruh dijawab dengan
ungkapan ‘wa alaikum’
sahaja. Perkara ini jelas disebut dalam hadis baginda:
“Sesungguhnya Yahudi
apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika
(maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu).
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka dengan ini jelas
hadith ini mempunyai Sabab
al-Wurud (sebab terbentuknya sesuatu hadith) yang tersendiri.
Iaitu ia merujuk kepada suatu kejadian atau keadaan yang mana orang Yahudi
memberikan ucapan salam secara mainan dan sendaan dengan diubah lafaz yang
kedengarannya hampir sama, tetapi maksudnya amat berbeza. Dalam ertikata lain
hadith ini bukan untuk semua keadaan.
Maka jika keadaan
berbeza, di mana jika ada bukan muslim memberikan salam dengan cara yang
betul serta tujuan yang betul pula iaitu untuk mengucapkan kesejahteraan
kepada kita, maka hadis di atas tiada kaitan lagi. Apakah wajar untuk kita
sebagai penganut agama yang membawa kesejahteraan dan rahmah, menolak ucapan
baik orang lain dengan cara yang tidak sepatutnya?!!. Sudah pasti tidak wajar
demikian.
Nas Dan Realiti
Apatah lagi dalam situasi
Islam yang cuba dipandang serong oleh musuh-musuh yang mengelilingi umat.
Tidak menjawab salam yang betul yang diberikan oleh bukan muslim yang tidak
memerangi Islam sekurang-kurangnya telah tersasar dari mematuhi dua ayat
al-Quran berikut:
Pertama: Surah al-Nisa: ayat 86:
(maksudnya): “Dan apabila
kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah
penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia
(dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap
sesuatu”.
Kedua: Surah al-Mumtahanah ayat 8-9,
(maksudnya): “Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang Yang berlaku adil.9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu
daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama
(kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu
(orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan
mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Al-Syeikh Nasir al-Din
al-Albani r.h. menyebut:
“Ayat ini (Surah
al-Mumtahanah ayat 8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan dan
keadilan kepada orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan tidak
menyakiti kaum mukminin. Tanpa syak lagi, jika seseorang di kalangan mereka
memberi salam dengan menyebut secara jelas as-salam ‘alaikum , lalu kita
menjawabnya sekadar wa ‘alaika, adalah sesuatu yang tidak adil dan
meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita telah mensamakan antara dia dengan
orang yang mengucapkan as-samu ‘alaikum (maut atau kemusnahan ke atas kamu).
Ini adalah kezaliman yang nyata”. (Nasir al-Din Al-Albani, Silsilah
al-Ahadith al-Sahihah, 2/322, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif :1995).
Di kalangan para ulama
yang melarang menjawab salam bukan muslim pun, berpendapat jika keadaan
memerlukan maka diboleh untuk menjawab. Mereka contohkan seperti bimbang
disakiti atau berlaku perkara yang tidak baik. Saya katakan keadaan umat hari
ini menuntut kita menjawabnya dari segi nas, juga realiti kehidupan. Islam
sudah dihodohkan rupa parasnya yang indah oleh penganut dan penentang. Enggan
membalas ucapan baik dengan ucapan yang baik juga hanya akan menambahkan
contengan di wajah Islam yang kudus. Maka menjawab salam bukan Islam di zaman
ini adalah suatu kewajiban dari segi nas dan tanggungjawab dakwah.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila berikan sepatah dua kata!