Apabila artikel ‘Kenaikan Harga Barang Ketetapan
Allah’ muncul di saat rakyat sedang merasai ancaman kenaikan
harga barang akibat potongan subsidi minyak oleh pihak kerajaan, majoriti
rakyat memang tidak puas hati. Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis
berkenaan. Mungkin niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan
ataupun meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia
bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya.
Menariknya saya terbaca
satu komen yang menyebut: ‘Kalau
begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang
ketetapan Allah lah?!’ Ringkas, tapi penuh makna.
Akidah
Sebelum kita pergi kepada
hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa
dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua
perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariah tidak
termasuk dalam kalangan Ahlus
Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut
hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.
Nabi s.a.w mengajar kita
tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama. Apabila manusia berusaha,
namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak;
iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan
kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin
Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izinNYA. Namun, apa yang DIA
izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan
semestinya DIA izinkan. DIA tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA
mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang diciptaNYA. DIA redha
hamba-hambaNYA bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta
yang banyak, atas sistem alam ciptaanNYA. Maka, di situlah adanya pahala bagi
niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian
untuk membalas kebaikan dan keburukan.
Usaha
Kita disuruh berusaha
kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah
ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip
mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari
sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa,
ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah
menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab
(tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah: (maksudnya)
“(ketika Maryam hendak
melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke
pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati
sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu
dia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai
Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak
sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke
atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).
Lihat, padahal Allah
Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam
bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat
wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia
sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah
mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan
Allah akan mengiringnya.
Takdir
Sama halnya dengan sakit
demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi s.a.w menyebut:
“Jika kamu mendengar taun
di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu
tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kita kena berusaha, kita
tidak boleh cakap ‘ini
semua takdir’ lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh).
Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi:
“Bagi setiap penyakit ada
ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat
Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi
(meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi
‘Iyadh yang menyebut:
Hadis-hadis ini juga
menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata:
“Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”.
Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.” (Al-Nawawi,
Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).
Jika seseorang jaga
kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu
ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan
diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri.
Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok,
ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia
menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu.
Allah telah ingatkan (maksudnya)
“Jangan kamu campakkan
diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Jika seseorang mati
kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun
jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak
boleh bagitau mahkamah ‘jangan
salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan
mematikan’. Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak
boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan
bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah’. Dalam
Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem
keadilan yang wajib ditegakkan.
Jika anda masuk ke kedai,
anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu
dia jawab “Allah
menaikkan harga barang”. Apakah anda akan berkata: ‘masyaAllah, akidah awak terlalu
teguh, awak sangat beriman’. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk
ketamakan awak!’.
Dalam negara ini, ada
berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga
berbillion ringgit. Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai
alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya: ‘semua itu takdir Allah?!’. Saya juga
lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan
itu cara berhujah yang betul untuk membela.
Maksud Hadis
Apabila anda faham
teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata:
“Harga barang telah menjadi
mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang
ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan
harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang
menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha
memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan
tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang
dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi,
Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Ertinya, jika kenaikan
itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semulajadi yang
jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini
dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga
barang.
Namun, jika naik turun
harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga
tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan
menjaga keadilan untuk kedua pihak. Justeru Islam melarang monopoli yang
zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok
barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan
harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:
“Sebenarnya, harus menetapkan
harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi
kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa
(Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu
untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan
harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas
dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).
Menariknya, Lajnah Fatwa
Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak
membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan
penguasa.
Kesimpulannya, hadis itu
sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat. Macam kata
Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij:
“Satu slogan yang benar,
tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad,
304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).
Adapun saya, tidak tahu
apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan
urusannya kepada Allah. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila berikan sepatah dua kata!