Izin Ku Menulis

Izin Ku Menulis

Isnin, 9 Januari 2017



Assalamualaikum

Agak lama saya tak menulis di sini. Dalam bahasa selanganya, dah lama saya tak membebel dan berleter di sini. Juga tidak kongsikan apa-apa. Saya tenggelam di dalam kesibukan buatan sendiri. huh!. Kalau nak beri alasan, puluhan alasan saya boleh berikan tetapi ia tidak akan membantu saya mendapat kembali manfaat masa walau pun sesaat dari tempoh itu. Alasan terbaik yang saya boleh berikan mungkin 'tiada kesempatan dan idea untuk dikongsi'. Terbaik kerana ianya jujur!

Baru-baru ini saya ada mendengar perkongsian dari seorang ustaz berkisar situasi dan halatuju sistem pendidikan tempatan yang ada sekarang. Saya akui bahawa saya bukanlah 'orangnya' yang layak memperkatakan tentang tahap pendidikan apatah lagi mengeluarkan kritikan mengenainya.

Ustaz itu menyatakan bahawa ada beberapa ciri di dalam sistem pendidikan yang ada mungkin menjadi punca yang menyumbang kepada, kalau saya boleh katakan, kecelaruan kognitif yang berkait dengan kemampuan bertindak yang efisen. (Wow, penat nak guna perkataan-perkataan tu).

Umumnya, ia merupakan kelemahan yang terkumpul dari perubahan polisi pendidikan, tahap sukatan pendidikan yang kelihatan 'terdesak' untuk menjadi yang terbaik' dan dalam masa yang sama, kekurangan synergi yang positif dan pengurangan ghairah para pendidik yang selalu dalam keadaan tertekan. Ini bukan fakta dari kajian yang lengkap cuma satu bentuk kesimpulan yang saya buat hasil dari pemahaman saya dari isi kandungan ceramah tersebut.

Saya tidak akan ulas panjang dan spesifik berkenaan polisi yang berubah-ubah tersebut. Yang saya nak kongsi ialah betapa besarnya kesan kerapuhan itu di akhirnya. Analogi yang saya boleh berikan, kesilapan memijak dahan yang kuat semasa memanjat pokok langsat boleh menyebabkan pemanjat itu jatuh dan cedera. Memang ada beberapa pilihan dahan di atas pokok itu yang menghala ke gugusan buah-buah langsat yang masak ranum, termasuk yang paling hampir ialah dengan melalui dahan yang telah mati. Risikonya besar - jatuh ke tanah dan bisa cedera.

Anda sebenarnya tak perlu pun rasa terkesan dengan apa yang saya nukilkan di atas ni. Saya bersetuju dengan pandangan yang agak kontra berkaitan sistem pendidikan sedia ada ini. Saya akan kongsikan serba sedikit tulisan-tulisan yang berkaitan dengan buah bicara yang saya utarakan di atas pada masa-masa akan datang.

Jumpa lagi di dalam pos-pos yang lain ya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila berikan sepatah dua kata!