Izin Ku Menulis

Izin Ku Menulis

Isnin, 9 Januari 2017

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini.

Setelah anak nekad terjun membunuh diri, si ibu berkata beliau hanya berharap anaknya mendapat markah 70, bukannya 80! Apabila markah peperiksaan menjadi currency dalam mendidik anak-anak, ibu bapa dan guru bukan penyiram air dan baja kepada impian, harapan, potensi dan kehidupan anak-anak, tetapi sebagai pembunuh.

Kisah di Singapura baru-baru ini bukan kisah baru.
Kami di kelas berbual mengenainya.
Rakan saya daripada Shandong Province di  China juga bercerita tentang hal yang sama. Katanya mengenai kegilaan National College Examination yang beliau lalui, pelajar menjadi gila dan ada yang membunuh diri. Markah penuh untuk peperiksaan berkenaan adalah 750. Pada tahun berkenaan, mereka perlu memperolehi markah sekurang-kurangnya 595 untuk mendapat tempat di universiti, manakala di province lain, markah yang diperlukan rendah sedikit sekitar 400. Ia ada kaitan dengan diskriminasi dan sikap kerajaan China yang tidak pernah jemu menekan minoriti Uygur di wilayah berkenaan. Di dalam kelas rakan saya ini katanya ada 70 pelajar. Kesemua mereka tidak berehat pada waktu berehat, terus mengulangkaji dan menyiapkan diri untuk peperiksaan berkenaan dalam timbunan buku dan kertas-kertas peperiksaan contoh dan tahun lepas. Dan akhirnya, daripada 70 orang itu hanya 6 orang sahaja yang layak dan mendapat tempat. Mereka yang gagal perlu mengulang, atau mengalah dan masuk ke kolej vokasional yang tiada pelajaran sistematik untuknya, atau jika mereka daripada keluarga berada, mereka mengambil TOEFL atau IELTS dan menyambung pelajaran ke luar negara, terutamanya di Amerika Utara dan Australia.
Teringat saya kepada tragedi yang menimpa negara kita dalam beberapa kes yang semakin dilupakan. Subashini hari ini sepatutnya sudah berusia 19 tahun. Mungkin sudah semakin jelas kelebihan dirinya di dalam bidang, atau kerja yang bagaimana. Tetapi dia pergi dahulu. Tekanan UPSR sudah cukup untuk menyebabkan Subashini menamatkan penderitaannya dengan sebuah tragedi. Malapetaka yang pergi dibawa angin dan masa.
Pemansuhan UPSR tidak berlaku.
Malah bebanannya ditambah lagi daripada apa yang sedia ada. Pelbagai hujah diberikan terhadap perubahan demi perubahan, yang hakikatnya masih seperti “the child on the rocking horse”.
Artikel saya pada tahun 2010 berikut, saya paparkan kembali untuk muhasabah kita bersama:

MENAMATKAN PENDIDIKAN KIASU

Seawal 2006, saya sudah menangkap hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merombak sistem pendidikan negara yang terlalu berorientasikan peperiksaan.
Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Pelajaran ketika itu pernah membuat kenyataan betapa sistem pendidikan semasa yang berorientasikan peperiksaan menjadi satu bebanan ke atas guru dan murid. Justeru satu bentuk pendekatan baru di dalam sistem pendidikan mahu diperkenalkan.
Saya mengalu-alu saranan ini.
‘KIASUISM’
Obsesi semua pihak terhadap ukuran kecemerlangan murid berdasarkan pencapaian bilangan A di dalam peperiksaan semakin menjadi-jadi.
Jika dahulunya budaya kiasu sering membawa kita kepada membayangkan negara jiran, Singapura, kini sikap all-must-win itu sudah semakin membarah di Malaysia hingga ia tidak lagi ditonjolkan pada kegilaan menghimpun tertinggi, terpanjang, terbesar dan terhebat di mercu tanda negara, malah turut mengisi seluruh spektrum kehidupan. ‘Segala-galanya bersifat enjit enjit semut siapa sakit naik atas’!
Seawal usia pra sekolah, murid-murid sudah diheret ke budaya ‘saya masuk kelas A sebab ada yang masuk kelas B’.
Murid yang beroleh keseluruhan A akan disanjung oleh semua peringkat masyarakat dan media. Pelbagai anugerah diberikan dan jumlah mereka menyumbang kepada statistik kebanggaan sekolah, kemudian daerah dan akhirnya negeri ke peringkat kebangsaan. Sedangkan segala liputan terhadap kelompok ‘cemerlang ini’ hakikatnya adalah laporan berkenaan kelompok minoriti kecil berbanding kelompok majoriti dengan pencapaian sederhana yang terus dipinggirkan.
Sekurang-kurangnya dua tragedi besar sudah terpampang di hadapan mata kita kesan daripada obsesi terhadap peperiksaan ini.
TEKANAN PSIKOLOGI MELAMPAU

NIBONG TEBAL, 18 Nov. -- S. Subashini,12, pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sempah dipercayai membunuh diri dengan menggantungkan diri menggunakan kain selimut akibat kecewa kerana memperolehi pangkat D dalam matapelajaran Pemahaman (Bahasa Malaysia) Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Subashini ditemui tergantung di jeriji tingkap bilik tidur oleh kakaknya. Subashini memperolehi 4 B, 2 C dan 1 D dalam UPSR 2007 yang diumumkan baru-baru ini. -- fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA
NIBONG TEBAL, 18 Nov. — S. Subashini,12, pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sempah dipercayai membunuh diri dengan menggantungkan diri menggunakan kain selimut akibat kecewa kerana memperolehi pangkat D dalam matapelajaran Pemahaman (Bahasa Malaysia) Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
Subashini ditemui tergantung di jeriji tingkap bilik tidur oleh kakaknya.
Subashini memperolehi 4 B, 2 C dan 1 D dalam UPSR 2007 yang diumumkan baru-baru ini.
— fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.
Sejauh mana isu ini diperbahaskan? Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR? Saya yakin jika insiden ini berlaku di negara maju lain, ia sudah cukup untuk menggoncang seluruh sistem negara.
Tekanan psikologi yang dikenakan ke atas murid-murid sebagai ‘kuda pertaruhan’ amat membimbangkan. Apatah lagi, tidak semua pelajar boleh cemerlang dalam orientasi hafalan dan muntahan fakta ke kertas peperiksaan. Ramai juga yang datang daripada kategori hands-on. Mereka mahir di dalam pelbagai bidang kemahiran membabitkan seni, teknikal, vokasional dan lain-lain, namun dipandang rendah kerana tidak berjaya diukur dan pembaris tunggal yang mengukur kualiti manusia di dalam sistem pendidikan kita.
GENERASI ROBOTIK
Kesan kedua yang timbul adalah pada kualiti tenaga manusia yang dihasilkan.
Kesan ini sukar dinilai semasa murid-murid berada di bangku pengajian kerana mereka masih berada di dalam sistem itu dan menjadi sebahagian daripadanya.
Tetapi, selepas menjadi graduan kepada sistem itu, bagaimanakah kualiti mahasiswa dan mahasiswi kita di peringkat pengajian universiti hari ini? Bagaimanakah pengalaman para pensyarah semasa mengendalikan murid-murid ‘cemerlang dengan A’ ini? Malah bagaimanakah statistik pelajar universiti yang terpaksa mengulang tahun atau kecundang di dalam pengajian, biar pun mereka itu adalah cream of the cream semasa di peringkat SPM?
Tidak dilupakan, keluhan demi keluhan pihak Sumber Manusia (HR) di dalam industri.
Bagaimanakah kualiti kemanusiaan warga kerja generasi muda kebelakangan ini?
Mereka mungkin mampu memiliki ijazah dengan CGPA 4.0 tetapi tidak terfikir bahawa untuk menghulurkan pisau kepada orang lain, yang patut diajukan adalah hulu pisau dan bukan matanya.
Common sense?
Logical thinking?
Segalanya semakin membarah.
Sistem pendidikan dan peperiksaan berkomputer kita benar-benar menghasilkan computerised-being. Generasi robot!
MAJLIS PERBINCANGAN MEJA BULAT PEMANSUHAN UPSR & PMR
Justeru saya amat mengalu-alukan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menilai kembali peranan UPSR dan PMR dalam sistem penaksiran pelajar di negara kita.
Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR telah berlangsung di Putra Jaya pada 27 Julai 2010 yang lalu telah menghimpunkan ramai tokoh pendidikan, ahli politik, ahli akademik IPTA dan IPTS serta NGO. Laporan awal menyatakan majoriti mereka yang hadir ke Majlis Perbincangan Meja Bulat itu mahu UPSR dan PMR dikekalkan tetapi dengan penambah baikan.
“Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan, tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, selepas mempengerusikan Majlis Perbincangan Meja Bulat Kementerian Pelajaran.
Saya juga bersetuju dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Setiausaha Kehormat, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia, Poh Chin Chuan yang mahu Kementerian Pelajaran mengumumkan formula alternatif jika mahu memansuhkan UPSR. Sebarang perubahan mestilah berasaskan kepada kajian yang menyeluruh dan tidak bersifat adhocism. Perubahan mesti bersifat holistik dan bukan gunting sana dan tampal sini.
Mangsanya adalah anak-anak kita dan masa depan negara.
Biar apa pun keputusan yang bakal diputuskan nanti, saya mengharapkan agar sistem pendidikan negara kita kembali bersifat STUDENT CENTRIC dan bukannya SCHOOL CENTRIC apatah lagi PPD CENTRIC!
Bakul sampahkanlah segala yang berkaitan dengan reputasi dan kemasyhuran sekolah, rekod perkhidmatan cemerlang pegawai pendidikan atau apa sahaja yang menyebabkan murid-murid itu sendiri bukan lagi satu keutamaan.
Apakah boleh dikategorikan sebagai salah laku yang serius apabila murid yang kurang cemerlang diarahkan oleh pihak sekolah mendaftar sebagai pelajar persendirian demi menjaga peratusan kecemerlangan keputusan peperiksaan? Kepada siapa salah laku ini patut diadukan?
Menyembah peperiksaan…. demikianlah perumpamaannya.
Atau mungkin kata kuncinya, hentikan campur tangan politik dan ‘pasaran semasa’ terhadap pendidikan negara.
Sekolah bukan gelanggang lumba kuda.
Ia tempat memanusiakan manusia.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Dinukil dari tulisan asal saifulislam

TUMBANGNYA KEIBUBAPAAN (THE COLLAPSE OF PARENTING)

Bagi kita yang mengimani Akhirat, kita tidak pasti bagaimana bentuk soalan yang akan Allah tanya kepada ahli politik, ahli ekonomi, termasuk guru-guru di sekolah. Tetapi kita pasti Allah tidak akan melepaskan kita daripada tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Tanggungjawab itu pula bukan bermaksud untuk kita melepaskan diri. Sebaliknya Allah menjadikan tanggungjawab itu sebagai ramuan terbaik memanusiakan seorang manusia mengikut acuan-Nya.
Sebelum guru tadika, sebelum guru sekolah rendah, sebelum guru sekolah menengah dan sebelum pensyarah universiti, guru pertama ke atas setiap anak adalah kita, ibu bapa.
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال النبي صلى الله عليه وسلم كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه كمثل البهيمة تنتج البهيمة هل ترى فيها جدعاء
Maksudnya: “Tidak ada bayi yang dilahirkan kecuali ia dilahirkan dalam keadaan fitrah lalu ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani (Kristian) atau Majusi. Sebagaimana seekor haiwan ternakan melahirkan anaknya yang sempurna sifat, adakah kamu rasa akan ada yang akan mejadi cacat dengan sendirinya?!” [al-Bukhari & Muslim].
Di usia 40’an, saya berasa lebih lapang untuk mengimbas keibubapaan yang saya lakukan dan yang tidak saya lakukan. Kita tidak punya apa-apa kepentingan, selain mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak, dan memohon keampunan Allah atas kelemahan dan kekurangan selama ini.
Apabila saya menghantar anak ke sekolah, saya tahu apa yang sekolah perlu buat dan apa yang kami sebagai ibu bapa perlu buat. Saya tahu apa yang saya telah buat, dan apa yang saya tidak buat. Saya sama sekali tidak mengharapkan keajaiban sekolah untuk menghasilkan apa yang hanya boleh terhasil daripada apa yang saya sepatutnya buat.
Sebelum sistem pendidikan gering, saya berpandangan keibubapaan telah terlebih dahulu gering dengan kegeringan yang lebih lama dan mendalam. Dalam kitaran supply and demand, ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan pendidikan yang diterima oleh anak-anak. Kita ada banyak salah tanggap dengan meletakkan cukai yang dibayar menjadikan kerajaan patut bertanggungjawab, yuran sekolah swasta yang dibayar menjadikan sekolah patut bertanggungjawab, sedangkan semua itu tidak dapat menebus kegagalan ibu bapa yang terlebih dahulu, melahirkan manusia yang bagaimana daripada sebuah institusi keluarga.




the collapse of parenting
The Collapse of Parenting: How We Hurt Our Kids When We Treat Them Like Grown-Ups

Leonard Sax, di dalam bukunya The Collapse of Parenting: How We Hurt Our Kids When We Treat Them Like Grown-Ups, bertanya soalan berikut:
Manakah di antara perkara berikut, yang sepatutnya diukur ketika seorang anak berusia 11 tahun, sebagai ukuran terbaik tentang kebahagiannya dan hidup dengan kepuasan sehingga sekitar 20 tahun kemudian, apabila si anak menjadi seorang dewasa di usia 31 atau 32 tahun?
  1. IQ
  2. Purata markah peperiksaan
  3. Keupayaan menguasai diri (self-control)
  4. Keterbukaan terhadap idea baru
  5. Mesra berkawan
Jawapannya ialah “3” iaitu keupayaan menguasai diri.
Sejauh mana seorang anak pada usia 11 tahun mampu mengawal dirinya, datang daripada ramuan keibubapaan yang baik. Fikirannya sihat, emosinya baik, dan beliau berada di dalam keadaan yang berkesedaran baik tentang free will serta consequences daripadanya. Leonard Sax menggariskan tiga perkara yang perlu disemai oleh ibu bapa kepada anak-anak iaitu:
  1. Didik mereka dengan sifat malu dan memelihara maruah diri
  2. Gembira
  3. Memberi makna kepada kehidupan
Kesemua hal ini memerlukan ibu bapa itu sendiri sihat akal fikirannya, luhur jiwanya dalam mendidik anak-anak, dan tidak berpura-pura terhadap apa yang disemai pada memikirkan apa yang hendak dituai. Berbualkah dengan anak-anak? Ada peluk mereka? Jika mereka salah, kita buat apa? Bahasa bagaimana yang kita pakai dalam berkomunikasi dengan mereka? Sayang mereka? Mereka percayakah yang kita sayangkan mereka?
Anak arnab berhenti menyusu pada usia 2 bulan atau lebih awal. 6 bulan kemudian, arnab sudah matang dari segi seksualiti dan bersedia untuk bunting dan melahirkan arnab. Purata usia arnab adalah 4 tahun. Usia kanak-kanak seekor arnab tidak sampai 1/10 daripada keseluruhan hidup mereka.
Kuda pula berhenti menyusu pada sekitar usia 6 bulan. Kematangan seksual kuda adalah sekitar usia 18 bulan. Zaman kanak-kanak seekor kuda hanya sekitar 12 bulan. Namun kuda pada usia 18 bulan belum mencapai usia dewasa. Seekor kuda dianggap telah dewasa sepenuhnya pada usia 4 tahun  dari perspektif ahli biologi dan veterinar. Antara umur kematangan seksual 18 bulan dan dewasa sepenuhnya seekor kuda pada umur 4 tahun, ertinya kuda menempuh usia remaja atau adolescence selama 2 tahun setengah.
Berbeza dengan manusia.
Seorang bayi manusia boleh berpisah dari susu badan pada usia setahun malah lebih awal. Usia menarche bagi kanak-kanak perempuan boleh mengandung adalah sekitar 12 tahun. Kanak-kanak lelaki mencapai kematangan seksual pada usia 13 tahun. Maka usia kanak-kanak bagi perempuan hari ini ialah sekitar 11 tahun, dan lelaki 12 tahun. Manakala usia remaja pula adalah bermula daripada usia seksual berfungsi penuh hingga ke usia menjadi dewasa, terutamanya jika dirujuk kepada perkembangan otak. Ia menjadikan usia dewasa perempuan ialah 22 tahun manakala lelaki 25 tahun. Jika ini dikira sebagai usia dewasa, maka seorang perempuan adalah remaja selama kira-kira 10 tahun, dan lelaki 12 tahun.
Mengapa usia kanak-kanak, remaja dan mencapai matang manusia jauh lebih panjang?
Leonard Sax menjawab, ia adalah mengenai BUDAYA.
Sesuatu yang unik bagi manusia. Budaya dalam erti kata  perilaku dan kebiasaan yang membentuk karakter setiap individu di dalam satu komuniti, namun tidak pada individu di dalam komuniti yang lain. Lain padang lain belalang. Proses mengajar dan belajar budaya ini adalah apa yang menjadi keutamaan di dalam pendidikan pada suatu ketika. Keutamaan di zaman tinggi pendidikan, tinggilah adab dan budaya seseorang itu. Tetapi sedikit demi sedikit, keutamaan kepada memupuk budaya, adab sopan, tatasusila, cara yang mulia dalam berinteraksi dengan orang lain, bahasa apa yang hendak dipakai, kesemuanya merosot, apabila pengukuran bagus atau tidak bagusnya seseorang adalah pada hal-hal lain yang telah disenaraikan di atas.
Pada usia kanak-kanak dan remaja ini, apakah yang dipupuk oleh ibu bapa?
Saya sendiri menempuh pengalaman yang rumit apabila memikirkan tentang memupuk budaya yang baik kepada anak-anak.
Di sebuah tadika, anak saya mengutip perkataan-perkataan yang tidak dipakai di rumah. Biar pun ia tadika Islam, murid-muridnya datang daripada latar belakang yang pelbagai. Konsentrasi sekolah kepada ‘silibus’ biar pun ‘silibus agama’, tidak dapat dilihat membantu mengikis perbendaharaan kata yang tidak manis di kalangan murid-muridnya. Anak saya suka dengan lawak jenaka yang membabitkan ludah, hingus, jelir lidah, tahi, punggung, bogel, dan yang seumpama dengannya.
Menyedari akan hal ini, kami mengambil masa yang lama untuk mencabut perkataan itu daripadanya dan menggantikannya dengan yang lebih baik. Lama itu, bukan lima bulan atau setahun, tetapi sehingga sekarang. Bertahun-tahun. Anak-anak perlu dipupuk rasa hormat kepada aurat, rasa keji terhadap kotoran, rasa malu terhadap perlanggaran. Semua ini penting supaya nanti anak tidak menjadi remaja yang mencarut dengan menggunakan kemaluan, aktiviti seksual, kerana semua itu dikontekskan semula dengan betul dalam satu tatakelola diri yang duduk dalam budaya, dan AGAMA.
Anak-anak sekarang mencarut dengan perkataan F***, dalam keadaan dia tidak menghayati apa sebenarnya perkataan itu. Mereka kutip ia daripada filem, lagu, dan kawan-kawan. Sebagai bapa, saya kuatkan hati untuk bercakap mengenai hal ini agar ia tidak menjadi vocab anak-anak saya. F*** itu perlu dikontekskan kembali sebagai fitrah manusia, ibadah, rasa malu yang sangat tinggi, perlakuan halal antara suami dan isteri melalui perkahwinan, haram antara lelaki dan perempuan tanpa perkahwinan, sehingga anak-anak sedar beban yang dipikul oleh perkataan tersebut.
Di rumah, anak-anak mengejekkah sesama mereka? Jika ya, sejauh mana kita sebagai ibu bapa komited membetulkannya? Dan membetulkannya, kita guna bahasa marah-marah, berleter atau mendidik?
Ibu bapa berotoriti melakukannya. Sekurang-kurangnya dalam budaya kita. Kita tidak mengalami masalah kekeliruan peranan (role confusion atau statusunsicherheit) sebagaimana yang kebanyakan masyarakat ‘Barat’ alami. Ibu bapa ada kuasa itu dan mereka mesti memainkannya.
Kuasa ibu bapa bukan bermaksud kuasa untuk mendisiplinkan anak-anak. Kuasa ibu bapa di sini lebih berkait dengan skala NILAI. Kuasa ibu bapa yang tinggi menjadikan ibu bapa lebih penting berbanding kawan-kawan. Dalam komuniti remaja kontemporari semasa ini, kawan-kawan lebih penting berbanding ibu bapa. Apabila kawan-kawan lebih berpengaruh berbanding ibu bapa, budaya yang menular masuk adalah BUDAYA BIADAB. Biadab ini bukan sekadar biadab terhadap ibu bapa dan mereka yang lebih tua, malah mereka biadab semasa mereka. Tiada hormat sesama mereka. Dan ia diserlahkan melalui vocabulary, ejek mengejek, gelar menggelar, buli membuli, kerana tiada rasa hormat sesama mereka.




The Culture of Disrespect
The Culture of Disrespect

Kuasa ibu bapa, tidak semestinya diserlahkan melalui pendisiplinan secara kekerasan. Tetapi apa yang lebih utama adalah hubungan ibu bapa dan anak terus utama dan relevan, bukan sahaja di zaman kanak-kanak, tetapi sepanjang menempuh keremajaan anak-anak kita.
Tanda-tanda kiamat bukan murid biadab kepada guru. Itu hanya simptom.
Tanda kiamat yang disebutkan oleh Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam ialah apabila seorang ibu melahirkan anak yang menjadi tuan ke atas ibu tersebut.
Runtuhnya sebuah keibubapaan.


Assalamualaikum

Agak lama saya tak menulis di sini. Dalam bahasa selanganya, dah lama saya tak membebel dan berleter di sini. Juga tidak kongsikan apa-apa. Saya tenggelam di dalam kesibukan buatan sendiri. huh!. Kalau nak beri alasan, puluhan alasan saya boleh berikan tetapi ia tidak akan membantu saya mendapat kembali manfaat masa walau pun sesaat dari tempoh itu. Alasan terbaik yang saya boleh berikan mungkin 'tiada kesempatan dan idea untuk dikongsi'. Terbaik kerana ianya jujur!

Baru-baru ini saya ada mendengar perkongsian dari seorang ustaz berkisar situasi dan halatuju sistem pendidikan tempatan yang ada sekarang. Saya akui bahawa saya bukanlah 'orangnya' yang layak memperkatakan tentang tahap pendidikan apatah lagi mengeluarkan kritikan mengenainya.

Ustaz itu menyatakan bahawa ada beberapa ciri di dalam sistem pendidikan yang ada mungkin menjadi punca yang menyumbang kepada, kalau saya boleh katakan, kecelaruan kognitif yang berkait dengan kemampuan bertindak yang efisen. (Wow, penat nak guna perkataan-perkataan tu).

Umumnya, ia merupakan kelemahan yang terkumpul dari perubahan polisi pendidikan, tahap sukatan pendidikan yang kelihatan 'terdesak' untuk menjadi yang terbaik' dan dalam masa yang sama, kekurangan synergi yang positif dan pengurangan ghairah para pendidik yang selalu dalam keadaan tertekan. Ini bukan fakta dari kajian yang lengkap cuma satu bentuk kesimpulan yang saya buat hasil dari pemahaman saya dari isi kandungan ceramah tersebut.

Saya tidak akan ulas panjang dan spesifik berkenaan polisi yang berubah-ubah tersebut. Yang saya nak kongsi ialah betapa besarnya kesan kerapuhan itu di akhirnya. Analogi yang saya boleh berikan, kesilapan memijak dahan yang kuat semasa memanjat pokok langsat boleh menyebabkan pemanjat itu jatuh dan cedera. Memang ada beberapa pilihan dahan di atas pokok itu yang menghala ke gugusan buah-buah langsat yang masak ranum, termasuk yang paling hampir ialah dengan melalui dahan yang telah mati. Risikonya besar - jatuh ke tanah dan bisa cedera.

Anda sebenarnya tak perlu pun rasa terkesan dengan apa yang saya nukilkan di atas ni. Saya bersetuju dengan pandangan yang agak kontra berkaitan sistem pendidikan sedia ada ini. Saya akan kongsikan serba sedikit tulisan-tulisan yang berkaitan dengan buah bicara yang saya utarakan di atas pada masa-masa akan datang.

Jumpa lagi di dalam pos-pos yang lain ya.